Dikisahkan bahawa semasa berlakunya
kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang
fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu
kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T." Setelah
fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya,
lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis
itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang
bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.
Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan
orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia
menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam
keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah
ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang
kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah
tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa
anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis
tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis
tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun
memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam,
maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung
tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala
ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka
apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri.
Apabial suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku
mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh
itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri." Setelah
si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan
kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba
terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu
wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti
dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan
kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar suara
tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati
tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama
suaminya dengan menggunakan tangan kanan.
Hendaklah kita sentiasa
menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah
datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita.
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati
tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa
menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan
barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi
kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia
telah menjadikan murka Allah S.W.T." Sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah
seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan
seribu rahmat."
No comments:
Post a Comment