MELAKUKAN dosa membuatkan seseorang merana di dunia dan akhirat. Ada
orang kata dosa adalah soal peribadi masing-masing, buat masing-masing
tanggung, jaga kubur masing-masing.
Tidak betul kata-kata itu kerana kubur kita nanti orang lain gali
sementara kubur orang lain kita juga yang kena uruskan. Maknanya dosa
yang kita lakukan boleh menyusahkan orang lain.
Contohnya, peminum arak rasa itu perbuatan peribadi, duit dia dan
kalau mabuk dia yang terhuyung-hayang. Memanglah benar duit dia tetapi
jika sudah mabuk mereka terdorong melakukan perkara di luar batasan
seperti melanghgar orang ketika memandu di jalan raya, berzina atau
sumbang mahram.
Lihatlah betapa pelakuan dosa kita itu amat keji. Berikut adalah
kesan bahaya kepada seseorang jika banyak melakukan dosa antaranya:
Dicabut daripadanya cahaya dan seri keimanan terutama
apabila melakukan dosa besar. Muka yang tidak pernah dibasahi air wuduk
boleh hilang serinya. Wajah itulah yang bakal menerangi anggota wuduk di
akhirat nanti.
Tertutup daripada kebenaran. Maknanya seseorang yang
melakukan dosa tahu mana baik dan buruk tetapi tak ikut kebaikan, dia
tahu yang buruk tetapi tidak dapat meninggalkannya.
Hilang rasa spontan terhadap amal kebaikan dan ganjaran
serta tawaran pahala. Mereka tidak menginginkan syurga dan apabila
disebut neraka mereka tidak berasa takut malah mengejek pula mereka
masuk neraka bukan seorang.
Berat dan payah beramal sebaliknya mudah apabila diajak
melakukan dosa dan maksiat. Menurut ibnu al-Qayyim, sesiapa yang
melakukan dosa ketika malam, dia amat berat untuk melakukan amal pada
siang kerana dosa yang dilakukan pada malam menghalang beramal dan
begitulah sebaliknya.
Dosa membuatkan hati jadi keras dan degil. Mereka amat
susah untuk mendengar nasihat. Mereka boleh menasihati dan menegur orang
tapi sangat berat apabila ditegur. Suka berbalah dan tidak menghormati
orang lain dan bahasa yang digunakan kasar serta tidak menghormati
perasaan orang lain.
Dosa derhaka kepada orang tua boleh berjangkit kepada
anak-anak. Allah pasti membalas dengan tindakan anak yang menyakitkan
hatinya sebagaimana dia menyakiti ibu bapa suatu ketika dulu.
Dosa menjadi hijab doa payah diterima Allah. Ada riwayat
menyatakan sesiapa makan makanan haram, doanya tidak diterima Allah
selama 40 hari.
Terkadang dosa menjadi penghalang daripada mendapat dan menemui jalan penyelesaian.
Dosa penyebab turunnya bala Allah. Rasulullah s.a.w
bersabda yang maksudnya, apabila nampak sangat zina dan riba,
sesungguhnya mereka mengizinkan Allah menurunkan azab.
No comments:
Post a Comment