Antara Hadis dan Tafsiran Hadis
"Fitnah wanita."
Ramai yang mengingatkan kita tentangnya. Rasulullah SAW juga.
"Aku tidak tinggalkan fitnah yang lebih
buruk selepas kewafatanku berbanding fitnah perempuan terhadap lelaki".
(Riwayat Bukhari)
Tepat sekali peringatan ini kerana
wanita sering kali menjadi 'sesuatu' yang paling disukai di dunia ini.
Berhati-hatilah dengan 'kesukaan' itu. Ramai lelaki hebat tidak berdaya
kerana wanita. Apatah lagi jika seseorang wanita itu sengaja ingin
menggoda, memujuk rayu dan memperdaya sasarannya. Siaplah...
Peringatan ini bagus. Namun, tafsiran
terhadap hadis di atas ini mestilah adil. Seadil Allah SWT dan
Rasulullah SAW memuliakan martabat wanita. Jangan pula hadis ini
dijadikan hujah untuk melemparkan segala kejahatan kepada wanita.
"Ni semua salah mak dia. Masa mengandung dulu..."
"Ni semua salah perempuan, sebab tu ramai lelaki jadi rosak..."
"Perempuan semuanya jahat..."
Masing-Masing Ada Keistimewaan dan Kekurangan
Hakikatnya, potensi untuk melakukan
kebaikan dan kejahatan ada pada kedua-dua makhluk Allah, lelaki dan
wanita. Wanita ada kelemahan. Lelakipun ada kelemahan. Wanita ada
kelebihan. Lelakipun ada kelebihan.
"Maka Tuhan mereka menerima permohonan mereka (
dengan berfirman ) sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amalan
orang-orang yang beramal dikalangan mereka baik lelaki dan
perempuan,kerana sebahagian kamu adalah keturunan sebahagian yang lain."
( Aali-Imran : 195 ).
Luasnya Maksud Fitnah
Dr Yusuf al-Qaradhawi membela,
"Berwaspada terhadap fitnah sesuatu tidak bererti ianya jahat
seluruhnya tetapi ianya bererti sesuatu itu mempunyai pengaruh yang
sangat kuat ke atas manusia yang dibimbangi akan memesongkannya dari
mengingati Allah dan hari akhirat."
Bukankah Allah SWT juga pernah memberi peringatan tentang fitnah harta dan anak-anak? Firman Allah Taala yang bermaksud ;
"Wahai orang-orang yang beriman janganlah
harta-harta kamu dan anak pinak kamu melalaikan kamu dari mengingati
Allah,barangsiapa yang berbuat demikian merekalah orang-orang yang
rugi." ( Munafiqun : 9 ):x
Mengikut tafsiran ayat ini, adakah ia
bermaksud harta dan anak-anak itu semuanya jahat? Tiada kebaikan
langsung daripadanya? Adakah Islam mengajar kita memusuhi harta
sebagaimana golongan sami yang langsung tidak mengumpul harta? Adakah
Islam mahu kita mencontohi golongan paderi yang tidak dibolehkan
berkahwin dan mempunyai anak?
Tidak!
Fitnah Harta dan Anak-anak
Hal ini seterang mentari dijelaskan
dalam al-Quran. Allah menunjukkan sikap yang adil (meletakkan sesuatu
kena pada tempatnya) dalam menyingkap maksud sebenar yang Dia mahu kita
fahami.
Tengok!
Di tempat yang lain, Allah SWT menyebut
harta itu sebagai " kebaikan ". Allah juga menyebut anak pinak dan
cucu-cucu sebagai nikmat yang dikurniakan kepada sesiapa yang
dikehendaki di kalangan hambaNya,
"Dia mengurniakan anak perempuan kepada
sesiapa yang dikehendaki dan Dia mengurniakan anak lelaki kepada sesiapa
yang Ia kehendaki." ( Syura : 49)
Malah, pengurniaan anak cucu kepada hamba-Nya, Allah sandingkan sama seperti hambaNya dikurniakan rezeki yang baik-baik.
Firman Allah SWT :
"Allah telah menjadikan dari diri-diri kamu
isteri-isteri, dan Allah menjadikan dari isteri-isteri kamu anak cucu,
dan Allah telah mengurniakan kepada kamu rezeki yang baik-baik." ( Nahl :
72 )
Bermakna anak-anak dan harta, asal
kedua-duanya adalah baik. Ia jadi fitnah apabila kita tidak menguruskan
dan mendidiknya dengan baik.
Firman Allah SWT:"Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan bagimu,di sisi Allah pahala yang besar."(Taghabun: 15 ),
Dr Yusuf al-Qaradhawi berpesan: "Memberi peringatan tentang ujian perempuan sama saja dengan peringatan tentang ujian harta dan anak pinak. Ia sama sekali tidak bermaksud bahawa semua nikmat ini jahat dan buruk tetapi sebenarnya Allah ingin memberi peringatan supaya jangan terlalu tertambat hati kepadanya sehingga sampai menjadi fitnah dan menjauhkan hati dari mengingati Allah."
Berawaslah!
Terima-kasih buat Nabi yang memberi
ingatan tentang fitnah wanita kepada kaum lelaki. Fitnahnya memang amat
besar. Lantaran itulah lelaki mesti diberi peringatan terhadap bahaya
ini, agar mereka tidak tersungkur dengannya.
Pesona luaran wanita memang memukau.
Mampu menjadikan orang sasau. Ditambah lagi, sifat semulajadi manusia
termasuklah lelaki suka bertindak secara gopoh gapah dalam menilai
luaran.
Wanita yang kusayangi, pada zaman ini,
kita mendapati ujian wanita sudah sampai ke tahap zaman-zaman terdahulu
dan khayalan generasinya. Disanjung, dipuja dan didewa-dewa padahal
golongan pemusnah menjadikan wanita sebagai satu elemen untuk
memusnahkan kemurnian-kemurnian dan artifak warisan dengan nama
perkembangan dan kemajuan. Berawaslah!
Kembalilah Wanita Pada Kemulianmu.
Pesan Dr. Yusuf al-Qaradhawi, "Menjadi
tanggungjawab wanita Islam berwaspada terhadap komplot ini. Wanita Islam
hendaklah sentiasa mengawal diri agar tidak dijadikan sebagai alat
pemusnah oleh kuasa-kuasa besar yang memusuhi Islam."
Wanita Islam hendaklah kembali kepada
zaman kegemilangan mereka yang mana mereka dianggap anak perempuan yang
terdidik, isteri yang solehah, ibu yang mulia, insan terpilih yang
berkhidmat untuk agama dan umat, Dengan demikian wanita mendapat dua
kebaikan iaitu beruntung di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment