Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu
ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi
yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang
hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu
melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang
berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi
menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau
lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau
terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah
engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari
rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah
sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata,
"Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu
yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus
berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia
menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi
sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke
mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun
mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan
perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat
akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali
sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu
pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka
berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun
meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas
itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan,
tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor
burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai
Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa
simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam
bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang
menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar
dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau
patahkan harapanku dari rezekiku."Nabi itu teringatkan pesanan arahan
dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia
menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia
membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging
pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu,
helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian
dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun
bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan
hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah
Nabi ke rumahnya.
Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia
berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana
yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti
semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T.
bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak
besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal
serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada
madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia
tetap akan nampak jua.
Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang,
maka janganlah kamu khianat kepadanya.
Keempat; jika orang meminta
kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau
sendiri berhajat.
Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan
hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk
berkumpul membuat ghibah.
" Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini
hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini
sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang
tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang
menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.
Haruslah kita
ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala
kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang
hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah
dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang
Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata
Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang
dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita
kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita
sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang
walaupun ia benar.
No comments:
Post a Comment