Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan 
Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke 
Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi 
Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah
 kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa 
telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti 
yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun menjawab dengan mengatakan 
nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat 
jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut 
tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan 
akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.Dengan pertolongan 
beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang 
tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di 
ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam 
bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar 
sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya 
dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi 
Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.Babi itu dibersihkan dan 
dimandikan dengan baik.
Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta 
dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama 
kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan 
yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian 
dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. 
Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah 
dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama 
Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu 
membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa. "Wahai 
tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa 
kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah 
telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa 
mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku 
sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari 
aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat 
tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan 
tugasku.",sambungnya."Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka 
diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi 
manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", 
tambah pemuda itu lagi.
 Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu 
kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran 
dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa 
kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia
 berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi
 Kami." Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia 
telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat 
doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka 
telah Kami pindahkan ke dalam syurga." Itulah berkat anak yang soleh. 
Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam 
neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti 
kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya 
seperti babi.
 Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di 
akhirat kelak.Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa 
kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan 
penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga 
dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga 
bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T 
supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T. Doa anak yang soleh akan
 membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah 
yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.Erti sayang 
seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit,
 tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya 
supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment