9.4.12

Mukmin Sebenar Sentiasa Takut Kebesaran Tuhan

Assalamualaikum muslimin dan muslimah sekalian...alhamdulillah kerana masih dipinjamkan nyawa drpd Allah untuk hari ini....hari ini saya ingin berkongsi sedikit info yang saya dapat daripada akhbar berita harian....sama-sama renungkan...inshaAllah....

FIRMAN Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman yang bila disebut Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat Allah kepadanya, maka bertambahlah imannya, sedang mereka itu bertawakal kepada Tuhannya." (Surah Al-Anfal, ayat 2)

Ayat ini sudah terang lagi bersuluh buat renungan kita bersama, betapa besarnya kegerunan yang ada dalam diri orang beriman apabila dibacakan ayat Allah kepada mereka. Mukmin sebenar apabila disebut nama Allah gementar hatinya kerana takutkan kebesaran Allah. Bertambah keimanan mereka apabila membaca ayat al-Quran dan mereka juga sentiasa bertawakal kepada Allah dengan segala daya upaya. Kemanisan melakukan ibadah seperti solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk dan ikhlas terhadap Allah SWT.
 
 
"Sesungguhnya berjayalah orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang siasia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka mereka orang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang yang berhak mewarisi - Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya". - Surah al-Mukminun, Ayat 1-11
 
 
Dosa kecil dilakukan bagi mereka seperti gunung besar menunggu masa dan tikanya untuk menghempap. Manakala bagi orang yang tidak beriman, mereka tiada gentar dan takut dengan azab Allah serta beranggapan dosa dilakukan seperti berlalunya seekor lalat menghinggapi pipi.

Begitu enteng sekali persoalan dosa pada pandangan mereka padahal dosa dilakukan mereka akan dihumbankan ke neraka Allah SWT. Berlainan pula dengan sikap orang beriman, mereka terlalu takut berbuat dosa kepada Allah walaupun kecil.

Firman Allah bermaksud: “Mereka (para penjual jiwa raga dan harta) adalah orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, rukuk dan sujud, menyuruh melakukan makruf dan melarang melakukan kemungkaran dan memelihara hukum Allah, dan sampaikan berita gembira kepada orang beriman.” (Surah at-Taubah, ayat 112)

Allah SWT memuji hamba-Nya yang rela menjual jiwa dan raganya serta hartanya kepada Allah SWT dengan balasan syurga. Orang yang melakukan jualan dan mengadakan urus niaga ini ialah golongan manusia terpilih yang mempunyai sifat istimewa.

Antaranya, sifat berkaitan diri sendiri dalam hubungan secara langsung dengan Allah SWT. Mereka ini disifatkan orang bertaubat dari dosanya, beribadat kepada tuhannya dalam kata-kata dan perbuatan. Allah SWT memberikan khabar gembira bagi orang mukmin kerana iman itu menjangkau semua sifat baik.

Kesempurnaan iman seseorang itu akan mewariskan dia syurga Allah SWT yang tertinggi. Mendapat kedudukan mulia bukan saja di dunia tetapi di akhirat. Kehidupannya dimuliakan bukan saja makhluk dunia, malah dihormati di kalangan makhluk di langit. Bahkan kematiannya diratapi makhluk dunia serta ditunggu- tunggu makhluk langit lantaran keimanannya itu membuatkan makhluk langit tidak sabar-sabar mahu melihat roh mulianya.

Semoga kita menjadi seorang yang sentiasa mengingati Allah dalam apa jua perkara yang kita lakukan...sama-sama kita muhasabah diri agar diri kita berhijrah ke arah yang lebih baik..inshaAllah...

No comments:

Post a Comment