Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam
dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk
mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu
diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas
masing-masing. Di sana Nabi Muhammad s.a.w.
dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang
telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih
terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu
kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa
bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar
membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah
mulut ketika itu.
"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman," kata salah seorang
sahabat. Mendengar perkataan itu, Rasulullah s.a.w. pun
menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk
neraka." Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah
s.a.w. itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu
gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka. Para sahabat
berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan
Rasulullah s.a.w. itu. Rasulullah
s.a.w. sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas
Baginda s.a.w.
berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar
ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat
ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera
Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu
pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu
ke dalam dadanya."
"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung
kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan
kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri.
Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan
masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk
neraka." Menurut Rasulullah s.a.w. lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada
mengatakan, katanya, "Demi Allah aku
berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan
kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang
hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku
tidak akan berperang."
No comments:
Post a Comment